ADUN Simunjan Umum Perancangan Projek Baharu untuk Kampung Selangking

Disiarkan pada 26 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris mengumumkan beberapa inisiatif pembangunan baharu untuk manfaat penduduk setempat dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Selangking, pada Sabtu.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan perancangan untuk membina sebuah stor khas bagi menyimpan peralatan program Sejati Madani serta aktiviti komuniti lain di kampung berkenaan.

Beliau turut berkongsi bahawa Kampung Selangking antara kampung yang terlibat dalam pelaksanaan Projek Ban Keliling, sebuah Projek Rakyat bernilai RM12 juta yang melibatkan pembinaan ban sepanjang 20 kilometer.

"Projek ini bertujuan mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan keselamatan penduduk dan sangat penting untuk melindungi kawasan kampung daripada risiko banjir, selain meningkatkan kualiti hidup penduduk," katanya.

Selain itu, Kampung Selangking juga bakal menerima projek menaik taraf Dewan JKKK, termasuk pembinaan 'awning' baharu di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Parlimen Batang Sadong bernilai RM150,000 yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Simunjan.

Awla berharap semua projek yang dilaksanakan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk serta memperkasakan kemudahan awam di kampung tersebut.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya oleh tetamu jemputan dan penduduk setempat.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah isteri beliau, Napsiah Abang Kaderi; Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan mewakili Pegawai Daerah Simunjan, Malisa Basmawi; Ketua Kampung Selangking, Aiwan Riduan; serta Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali.-EDISI UKAS