LONDON: Perkhidmatan Awam Sarawak perlu berkembang menjadi sebuah organisasi yang bukan sahaja cekap dan berkemampuan, malah berani, berpandangan jauh dan berteraskan manusia, kata Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Berucap dalam sesi pertemuan bersama peserta Program Pembangunan Kepimpinan Tersuai dengan UK Civil Service College di Rumah Yayasan Sarawak, London hari ini, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menegaskan bahawa masa depan Perkhidmatan Awam Sarawak bergantung kepada keberanian untuk mengadaptasi inovasi, berpegang kepada integriti dan menjalin hubungan yang erat dengan keperluan serta aspirasi rakyat.
Beliau mengingatkan peserta bahawa Perkhidmatan Awam Sarawak bukan sahaja berperanan untuk berkhidmat, malah perlu memimpin, bermula dengan komitmen setiap pegawai terhadap pertumbuhan diri, kecemerlangan dan budaya khidmat.
“Ini menandakan permulaan satu perjalanan penting bukan sahaja untuk para peserta yang hadir, malah untuk masa depan Perkhidmatan Awam Sarawak secara keseluruhan.
"Program ini bukan sekadar satu latihan pembangunan profesional, sebaliknya merupakan pelaburan strategik terhadap modal insan — iaitu anda, para pemimpin masa depan yang akan memacu kemajuan Sarawak,” ujarnya.
Program ini disasarkan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak Gred 12 dan ke atas, menawarkan pendedahan serta kepakaran dalam penyampaian perkhidmatan barisan hadapan daripada bekas pegawai kanan dan rakan sekutu Perkhidmatan Awam United Kingdom.
Fokus program merangkumi pembangunan keupayaan kepimpinan, penjajaran matlamat strategik, serta pemerkasaan budaya organisasi.
Inisiatif ini dianjurkan oleh Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (HRDM), Jabatan Premier Sarawak dan Institut Kepimpinan dengan kerjasama UK Civil Service College.
Menyifatkan program ini sebagai peluang yang amat berharga, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata peserta akan didedahkan kepada tradisi, reformasi dan inovasi dalam salah satu institusi perkhidmatan awam yang paling dihormati di dunia.
Beliau turut mengingatkan para pegawai yang terpilih agar memikul tanggungjawab yang lebih besar dan membawa nama Sarawak ke persada antarabangsa.
“Bawalah nama kita dengan rasa bangga. Tunjukkan profesionalisme dalam setiap tindakan. Dan pulanglah dengan ilmu, kejelasan serta iltizam untuk memimpin transformasi di tanah air,” pesannya.
Mengakhiri ucapannya, beliau berharap agar semua peserta memperoleh pengalaman yang bermakna dan bermanfaat, serta menzahirkan keyakinan bahawa idea serta pandangan yang diperoleh sepanjang program ini akan mampu mengangkat martabat Sarawak.
Selepas sesi tersebut, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut mengadakan pertemuan dengan wakil Judge Business School, University of Cambridge, bagi mendengar taklimat serta membincangkan kerjasama dalam program kepimpinan untuk Ketua-Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam Sarawak.-EDISI UKAS