SIBU: Projek naik taraf Loji Rawatan Air Sibu Salim kini menunjukkan kemajuan ketara dengan 17.5 peratus pelaksanaan, mengatasi sasaran asal 11.5 peratus sekali gus mendahului jadual sebanyak 6.5 peratus.
Projek berimpak tinggi ini bertujuan menggandakan kapasiti loji daripada 150 juta liter sehari (JLH) kepada 300 JLH, di mana peningkatan itu dijangka mampu menyediakan margin rizab air sebanyak 30 peratus untuk keperluan lebih 350,000 penduduk di Sibu dan kawasan sekitarnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penyelesaian jangka panjang ini amat diperlukan memandangkan loji sedia ada kini beroperasi pada kapasiti maksimum untuk memenuhi permintaan semasa.
“Jika projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, ia akan menjadi penyelesaian kukuh terhadap isu bekalan air yang dihadapi Sibu hari ini.
“Kita tidak mahu rakyat terus bergantung kepada kapasiti yang sudah melebihi had,” jelas beliau semasa lawatan kerja rasmi ke tapak projek tersebut pada Jumaat.
Ketika ini, Sibu bergantung kepada Loji Rawatan Air Salim (150 JLH) dan Loji Rawatan Air Bukit Lima (45 JLH) yang memberikan gabungan kapasiti 195 JLH, berbanding permintaan harian sekitar 200 JLH.
Projek ini adalah sebahagian daripada Pelan Induk Air Sarawak serta pembangunan sistem grid air negeri, yang bertujuan menyediakan bekalan air bersih secara lebih cekap dan menyeluruh melalui rangkaian grid yang berhubung di seluruh Sarawak.
Dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan kos keseluruhan RM291 juta, nilai kontrak projek ini berjumlah RM269 juta, termasuk sumbangan terus RM200 juta daripada kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan inisiatif besar-besaran penggantian dan penaiktarafan paip air di seluruh negeri.
Sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan bagi menggantikan 2,740 kilometer paip lama dalam tempoh lima tahun bermula 2024.
Untuk kawasan Sibu sahaja, RM170 juta telah diluluskan bagi projek menaik taraf paip air.
“Ini bukan penyelesaian jangka pendek. Ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan bersepadu yang sedang dilaksanakan secara agresif demi masa depan rakyat Sarawak,” tambah Dato Sri Julaihi, sambil menyeru media untuk membantu menyampaikan perkembangan positif ini kepada masyarakat.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias; Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan; serta Pengurus Besar Lembaga Air Sibu (LAS), Abdul Malik Abdullah.-EDISI UKAS