BINTANGOR: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sedang memantau dengan teliti pelaksanaan projek menaiktaraf R.C Pontoons Jeti Bintangor dan bekerjasama secara proaktif dengan agensi pelaksana dan kontraktor untuk memastikan tiada kelewatan dalam projek berkenaan.
Menterinya Dato SriLee Kim Shin berkata, sehingga 26 April 2025, projek itu telah mencapai 46.8 peratus kemajuan fizikal, dengan pakej kerja utama seperti cerucuk, fabrikasi pontun dan peningkatan jeti sedang dijalankan.
Katanya, projek diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) ini merupakan sebahagian daripada program peningkatan infrastruktur yang lebih luas yang turut merangkumi projek serupa di Sibu dan Bintulu.
“Projek ini bukan sekadar penggantian struktur-ia adalah pelaburan penting dalam meningkatkan keselamatan pengangkutan, menggalakkan daya tahan ekonomi, dan meningkatkan kemudahan awam di bandar serantau seperti Bintangor.
“Ia mencerminkan visi Kementerian yang lebih luas untuk menyampaikan penambahbaikan infrastruktur yang memberi impak yang memenuhi keperluan semua rakyat Sarawak, khususnya di kawasan terpencil dan tumpuan masyarakat.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat projek itu di Jeti Bintangor pada Sabtu.
Untuk memastikan inisiatif penting ini berjaya dan tepat pada masanya, beliau menegaskan, MOTS akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan.
“Kami amat berterima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan pemahaman mereka sepanjang tempoh pembinaan dan memohon maaf atas sebarang kesulitan sementara yang berlaku,” jelasnya lagi.
Projek yang bermula pada 6 November 2024 itu akan disiapkan dalam tempoh 10 bulan.
Sebagai langkah sementara, kerja-kerja penambahbaikan sedang dilaksanakan di jeti alternatif di Jalan Maju, termasuk pemasangan struktur fender, pagar keselamatan dan kemudahan sokongan yang berkaitan untuk memastikan akses awam berterusan sepanjang tempoh pembinaan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong dan Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang. - EDISI UKAS