Penggabungan Agensi Bekalan Air Beri Manfaat Jangka Panjang Kepada Kakitangan

Posted on 26 Apr 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Penggabungan agensi utama bekalan air di Sarawak akan memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh kakitangan agensi yang terlibat.

Jaminan itu dinyatakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi sambil berkata proses penggabungan itu kini dalam fasa akhir.

Katanya, pelancaran entiti baharu itu nanti dijangka diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Jun depan.

“Jika masih ada yang masih khuatir impak penggabungan ini tak usah risau kerana kami tahu apa yang terbaik untuk semua.

“Kebajikan kakitangan akan terus dijaga, dengan penambahbaikan dari segi gaji, pencen dan caruman KWSP yang sedang diperincikan, maklumat lanjut akan diumumkan dalam sesi town hall yang akan diadakan berkaitan perkara ini,” tambah beliau.

Beliau berucap demikian pada Majlis Jamuan Tahunan Lembaga Air Sibu 2025 dan Ramah Tamah Aidilfitri di sebuah Hotel di sini pada Jumaat.

Tiga entiti yang terlibat dalam penggabungan ini ialah Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Sarawak Water Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).

Manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) tidak terlibat dalam penyatuan tersebut buat masa ini.

Dato Sri Julaihi turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM697 juta untuk melaksanakan 30 projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di kawasan seliaan Lembaga Air Sibu.

“Setakat ini, lapan projek telah siap 26 peratus manakala 11 projek mencapai 37 peratus sedang berjalan mengikut jadual, dan baki 11 lagi masih dalam fasa perancangan.

“Antara projek utama yang sedang berjalan termasuk Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim serta penggantian dan penaiktarafan paip lama dengan kos sebanyak RM338 juta bagi bahagian Sibu.”

Dalam majlis tersebut, seramai 31 orang kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2023 dan 2024 serta sijil Penghargaan Perkhidmatan selama 20 Tahun kepada tiga orang kakitangan dan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Selama 30 tahun kepada tujuh orang kakitangan, manakala satu Anugerah Khas kepada seorang kakitangan Lembaga Air Sibu. - EDISI UKAS