SIMUNJAN: Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Pisang kini tampil dengan wajah baharu, hasil pelaksanaan projek naik taraf yang dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Naik taraf dewan ini melibatkan kerja-kerja penting seperti pembaikan bumbung, penambahan ruang dapur, pemasangan jubin baharu, dan pembaharuan kemudahan asas yang secara langsung memberi nilai tambah kepada fungsi dewan tersebut sebagai pusat kegiatan masyarakat.
Menurut Awla dalam ucapannya semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di dewan tersebut pada Jumaat, projek ini bertujuan memastikan penduduk kampung mempunyai kemudahan yang selesa dan selamat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sosial, kebajikan dan komuniti.
“Saya berharap dewan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk bagi pelbagai program seperti mesyuarat, kenduri, majlis agama, serta aktiviti belia dan wanita,” ujar beliau.
Projek ini disifatkan sebagai satu langkah penting dalam memperkasa infrastruktur luar bandar, sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar melalui penyediaan kemudahan awam yang lebih baik.
Majlis yang turut meraikan Aidilfitri itu dihadiri ratusan penduduk tempatan serta dimeriahkan dengan persembahan lagu raya, jamuan makan, cabutan bertuah, dan sesi ramah mesra bersama pemimpin.
Hadir sama ialah Ketua Kampung Tanjung Pisang, Bakeri Jemali; Guru Besar SK Tanjung Pisang Selangking, Bakar Brahim; Penghulu Ahmad Dol Simpol; Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi; Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan, Bojeng Ali dan Ketua Zon 3 Sungai Apin, Mohamad Alsaqaf Mohd Jaafar. -EDISI UKAS