20 Individu Terima Sumbangan Baitulmal Semepena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Sungai Putin

Disiarkan pada 26 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SADONG JAYA: Seramai 20 individu menerima sumbangan daripada Baitulmal Bahagian Samarahan dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Sungai Putin yang berlangsung di Dataran Kejat kampung tersebut, pada Sabtu.

Penerima sumbangan terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan bapa tunggal sebagai usaha membantu meringankan beban serta menyantuni mereka sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menyeru penduduk Kampung Sungai Putin agar terus memelihara perpaduan dan keharmonian dalam komuniti terutamanya ketika menyambut hari kebesaran seperti Aidilfitri.

Menurut beliau, sambutan seperti Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bukan sahaja mengeratkan silaturahim malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jalinan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.

“Semangat kebersamaan yang ditonjolkan dalam majlis seperti ini amat penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan saling menghormati,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Beliau turut memuji usaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Putin yang berjaya menganjurkan program secara bersama demi manfaat penduduk setempat.

Majlis ini merupakan anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Putin bagi mengeratkan ukhuwah dan memeriahkan sambutan Syawal di peringkat komuniti.

Selain penyampaian sumbangan, turut diadakan ialah majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Bertuntong yang mendapat sambutan meriah daripada penduduk setempat.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut adalah isteri Awla, Napsiah Abang Kaderi; Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup; Pengerusi KRT Kampung Sungai Putin, Awang Basiri Awang Salleh; Ketua Baitumal Bahagian Samarahan, Norzahan Bahani; Penghulu Sadong Jaya, Abang Zulkifli Abang Zainudin dan Pengerusi Sulam UNIMAS Kampung Sungai Putin, Yusuf Aruf serta pelajar-pelajar dari UNIMAS.-EDISI UKAS