Permohonan Bantuan Khas Kewangan RM1,200 Pelajar Dibuka Bermula 1 Mei Ini

Posted on 26 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Berita baik kepada para pelajar Sarawak yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia dengan permohonan Bantuan Khas Kewangan RM1,200 kepada para pelajar akan dibuka bermula 1 Mei ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, permohonan hanya akan dibuka selama satu bulan dengan tarikh tamat pada 1 Jun.

Tambahnya, tempoh permohonan yang kedua juga akan dibuka pada bulan September kelak.

“Perkara yang ingin kita umumkan hari ini adalah mengenai tarikh permohonan sebab sekarang para pelajar bertanya bila mereka boleh memohon dan mendaftar.

“Pendaftaran akan dibuka pada 1 Mei hingga hujung bulan, selama sebulan namun pelajar yang tidak mendaftar pada tempoh ini pula boleh memohon pada September kelak.

“Hal ini kerana kerana ada pelajar yang akan mendaftar atau memulakan pengajian pada bulan September nanti maka kita sediakan dua peluang untuk pendaftaran,” katanya dalam satu sidang media khas sempena bantuan tersebut di Wisma Adenan, Yayasan Sarawak pada Sabtu.

Mengulas mengenai kriteria Bantuan Kewangan Khas untuk Pelajar Sarawak, pemohon mestilah warganegara Sarawak dengan sekurang-kurangnya salah seorang ibu bapa atau penjaga adalah rakyat Sarawak,

Selain itu, mereka juga merupakan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dengan pengajian secara sepenuh masa dan telah disahkan dan disokong oleh IPT bahawa mereka memenuhi semua kriteria di atas.

Datuk Dr Annuar menambah RM600 akan disalurkan setiap semester ke dalam akaun S PAY Global mereka sepanjang tempoh pengajian.

“Dalam erti kata lain, jika tempoh pengajian anda adalah 4 tahun, anda akan diberikan bantuan kewangan selama 4 tahun. Jika hanya 1 semester, anda hanya akan menerima bantuan untuk 1 semester,” jelasnya.

Namun begitu, pelajar yang terpaksa melanjutkan tempoh pengajian tidak akan menerima bantuan tersebut lagi memandangkan pemberian bantuan mengikut tempoh pengajian yang ditetapkan mengikut kursus yang diikuti.

Menjelaskan mengenai pelajar yang belajar di Semenanjung Malaysia dan Sabah, S Pay Global kini diintegrasikan dengan DuitNow QR di mana para pelajar boleh menggunakan bantuan tersebut di mana kedai-kedai yang mempunyai imbasan DuitNow QR.

Majlis pelancaran bagi Bantuan Khas Kewangan RM1,200 bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 28 Jun kelak dengan tarikh tersebut penyaluran terus bantuan kepada akaun S Pay Global pelajar yang berjaya memohon.

Untuk memohon, para pelajar yang memenuhi kriteria boleh melayari laman sesawang https://myys.yayasansarawak.org.my/ termasuk untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. -EDISI UKAS