MUKAH: Penganjuran acara ikonik, Kaul Mukah saban tahun bukan sahaja memperkukuhkan warisan budaya kaum Melanau, malah turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, selain membuka peluang kepada para usahawan kecil, mempromosi produk tempatan, serta memperkenalkan Mukah sebagai destinasi pelancongan yang unik kepada para pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Kaul Mukah merupakan satu warisan budaya turun-temurun masyarakat Melanau yang kaya dengan nilai simbolik, adat resam dan spiritual.
“Ia merupakan salah satu lambang identiti dan jati diri masyarakat Melanau, dan pada masa yang sama, menjadi bukti kukuh kepada kekayaan dan kepelbagaian budaya negeri Sarawak yang kita cintai ini.”
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Kaul Mukah 2025 di Tapak Kaul Mukah, Pantai Kala Dana pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, Kaul Mukah akan terus menjadi satu acara berprestij yang bukan sahaja memperingati warisan silam, tetapi turut menjadi jambatan untuk memperkukuhkan keharmonian antara kaum dan membina masa depan yang lebih gemilang.
Katanya, dengan semangat perpaduan yang kukuh, penghayatan budaya yang mendalam dan dukungan semua pihak, Kaul Mukah akan terus berkembang sebagai warisan agung masyarakat Melanau dan kebanggaan seluruh Sarawak.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine; ADUN Daro, Safiee Ahmad; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh serta tetamu kehormat lain.
Selepas gimik perasmian, Dato Sri Abdul Karim bersama semua dif kenamaan melawat gerai-gerai komuniti di Tapak Kaul Mukah.
Kaul Mukah 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 27 April menyediakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung. - EDISI UKAS