Pelbagai Pembangunan Dalam Pelbagai Fasa Dirancang Di Mukah

Disiarkan pada 26 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Pelbagai pembangunan termasuk pembangunan infrastruktur asas dan ekonomi dalam pelbagai fasa sedang dirancang di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, sebanyak enam projek mega akan bermula secara berfasa termasuklah projek yang dinanti-nantikan oleh masyarakat di Mukah, iaitu Tebingan Mukah yang baharu.

“Projek Tebingan Mukah yang bernilai RM60 juta, dijangka bermula suku ketiga Tahun 2026 di mana kini, projek berkenaan masih dalam fasa pelantikan konsultan manakala Projek Pemulihan Tebingan Batang Mukah antara Sungai Penakub dan Sungai Tellian
bernilai RM40 juta yang dijangka bermula pada suku keempat pada tahun ini,” ujar beliau ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kaul Mukah 2025, yang berlangsung di Pantai Kala Dana, di sini, pada Sabtu.

Selain itu, empat lagi projek dirancang dibawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADA) iaitu Pasar Bersepadu Mukah yang dijangka menelan perbelanjaan berjumlah RM40 juta yang merangkumi pembinaan tempat letak kereta bertingkat,
market ikan dan sayuran, medan selera dan ruang niaga untuk produk kering serta kraftangan.

Dua projek iaitu Anjung Ria Senaga Mukah dan Medan Selera Kala Dana Mukah yang masing-masing menelan perbelanjaan sebanyak RM25 juta dan RM13 juta akan banyak memanfaatkan komuniti peniaga di Mukah khususnya mereka yang terlibat dalam perusahaan kecil sederhana.

“Kedua-dua projek ini menyediakan kemudahan rekreasi kepada
masyarakat, ruang niaga untuk usahawan kecil dan sederhana, kemudahan ruang serbaguna untuk pelbagai aktviti seperti majlis perkahwinan mahupun persidangan malah untuk aktiviti-aktiviti lain yang memerlukan ruang yang besar,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Projek Pengawalan Hakisan Pantai Petanak bernilai RM20 juta turut termasuk di bawah projek RADA yang dijangka bermula pada suku ketiga pada tahun 2026.

Berhubung dengan pembangunan infrastruktur asas, Royston menjelaskan bekalan air terawat dan jaringan jalan raya juga sedang giat dilaksanakan di Daerah Mukah ketika ini yang akan memberikan manfaat penuh kepada penghuni di rumah panjang dan penempatan penduduk di kawasan ulu terutamanya.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; ADUN Daro, Safiee Ahmad; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh; serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS