MUKAH: Kaul Mukah merupakan bukti daya tahan budaya dan warisan Kaum Melanau yang tidak akan dilupakan meskipun dalam fasa pembangunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, Kaul Mukah merupakan platform yang paling sesuai untuk komuniti Melanau mempamerkan warisan dan budaya bangsa yang penuh dengan keunikannya yang tersendiri.
Jelas beliau, perayaan ini pada masa yang sama berfungsi sebagai pemangkin penting untuk pelancongan di wilayah Sarawak ini.
“Hari ini, kita berkumpul disini bukan sahaja untuk meraikan pesta keramaian semata-mata, tetapi kita berkumpul untuk membuktikan daya tahan budaya dan warisan Kaum Melanau melalui platform Kaul Mukah yang kita raikan setiap tahun sejak sekian lama.
“Acara ini, yang berlangsung bermula dari 19 sehingga 27 April 2025 lebih daripada sekadar perayaan; ia merupakan platform yang paling sesuai untuk komuniti Melanau mempamerkan warisan dan budaya bangsa yang penuh dengan keunikannya yang tersendiridan pada masa yang sama berfungsi sebagai pemangkin penting untuk pelancongan di wilayah Sarawak ini,“ ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kaul Mukah 2025, yang berlangsung di Pantai Kala Dana, di sini, pada Sabtu.
Hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Mengulas lanjut, Royston menjelaskan bahawa penganjuran ini bukan sahaja acara yang dianjurkan sebagai penghormatan kepada kepercayaan nenek moyang terdahulu, malah bersifat sebagai jemputan untuk meneroka cara hidup masyarakat Melanau.
“Perayaan ini lebih daripada sekadar acara, ia adalah jemputan untuk meneroka cara hidup Melanau dari sudut tarian, makanan, permainan, pemakaian dan pelbagai lagi perkara yang menjadi identiti unik Kaum Melanau,” ujar beliau lagi.
Pada tahun ini, Kaul Mukah telah menyediakan sebanyak 24 aktiviti secara keseluruhan yang merangkumi acara rasmi, pertandingan, bengkel, persembahan kebudayaan, hiburan, pameran, jualan dan sebagainya.
Jelas Royston, kesemua aktiviti ini semestinya disusun berpaksikan identiti Kaum Melanau dengan usaha untuk memartabatkan warisan budaya yang harus dipelihara sebaik-baiknya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; ADUN Daro, Safiee Ahmad; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh; serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS