Peranan Bomba Dalam Masyarakat Penting, Perlu Diperkasakan

Disiarkan pada 25 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Peranan Bomba dalam masyarakat amat penting dan perlu diperkasakan melalui usaha berterusan dalam pencegahan kebakaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro telah berjaya menyelesaikan pelbagai kes kecemasan melibatkan kebakaran, penyelamatan dan bencana dalam tempoh lima tahun ini, menunjukkan keperluan besar terhadap pasukan bomba dalam komuniti di situ.

“Saya menyarankan agar BBP Daro terus melaksanakan program-program kesedaran dan pencegahan kebakaran kepada komuniti.

“Usaha seperti ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan keselamatan serta kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah BBP Daro 2025 di sini pada Jumaat.

Dalam ucapannya, Safiee turut menyatakan penghargaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh BBP Daro sejak ia mula beroperasi pada tahun 2019.

Beliau turut menyampaikan sumbangan dana kepada Kelab Sukan dan Kebajikan BBP Daro sebagai sokongan kepada kebajikan dan aktiviti sosial anggota.

Pada majlis tersebut, Safiee turut serta meraikan para anggota bomba bersama ahli keluarga mereka dalam suasana santai dan kekeluargaan.

Turut hadir Pegawai Daerah Daro, Zul Usup; Ketua BBP Daro, Hasman Bakar; wakil Ketua BBP Zon 4 Sibu, Abdul Mutalib Jaafar; wakil KPD Matu Daro, Miki Mohan Singh Ramday serta KMKK Tanah Besar Daro. - EDISI UKAS