Undang-Undang Perdagangan Karbon Sarawak Jadi Model Persekutuan, Usaha Harmonisasi Dipersetujui

Posted on 25 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mengharmonikan undang-undang perdagangan karbon Sarawak dengan cadangan undang-undang di peringkat nasional, menjadikan Sarawak model dalam pembangunan dasar perundangan berkaitan perubahan iklim dan ekonomi karbon.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, undang-undang negeri berkaitan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serta pengurangan gas rumah hijau telah dibangunkan lebih awal dan kini menjadi rujukan utama dalam pembentukan dasar persekutuan.

"Kita akan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam kita melaksanakan perdagangan karbon di antara kita dengan pembeli.

"Alhamdulillah, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengharmonikan undang-undang kita dengan cadangan undang-undang mereka yang akan dibentangkan di Parlimen. Bermakna undang-undang kita juga menjadi model kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandara (MUDENR) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Premier Sarawak menambah, penyelarasan ini penting kerana perdagangan karbon berasaskan protokol dan kerangka undang-undang antarabangsa.

Justeru katanya, kerjasama antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan sistem perdagangan karbon yang sah, cekap dan mampan.

Turut hadir, isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri MUDENR Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MUDENR Datu Abdullah Julaihi. -EDISI UKAS