KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan harapan agar sumbangan zakat daripada agensi-agensi di Sarawak memberikan manfaat besar kepada masyarakat Islam di Sarawak khususnya golongan asnaf, anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan bantuan.
Beliau menzahirkan harapan itu semasa berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Jumaat.
Dalam majlis tersebut, LPB yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato Sharkawi Alis telah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2025 berjumlah RM2 juta kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.
Penyerahan disaksikan oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, disusuli dengan bacaan doa oleh Timbalan Ketua Sektor Operasi TBS, Al-Fadhil Ustaz Mohd Yusree Mohammad Zain.
Majlis ini mencerminkan komitmen tinggi LPB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menyokong pembangunan sosio-ekonomi umat Islam di Sarawak.
Ia turut menjadi bukti kukuh kepada jalinan strategik antara sektor korporat dan institusi agama dalam memperkasakan masyarakat.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengurus Besar LPB, Mizool Amir Mat Drus serta Penolong Pengurus Besar (Operasi), Kapt Zakhir Khan Yusoff.-EDISI UKAS
Foto Kredit: Astana Negeri Sarawak