MIRI: Program Bakti MADANI (PBM) Miri 2025 bakal menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, selaras dengan aspirasi Sarawak menuju negeri maju dan makmur menjelang 2030.
Program selama tiga hari itu akan berlangsung dari 9 hingga 11 Mei 2025 di Stadium Bandaraya Miri dengan tema “Sarawak Maju Makmur – SCORE Ke Arah Pemerkasaan Rakyat.”
Ia merupakan hasil kerjasama strategik antara Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni berkata, PBM Miri 2025 bukan sekadar program turun padang biasa, tetapi manifestasi komitmen kerajaan dalam merealisasikan Agenda Ekonomi MADANI serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Matlamat utama program ini adalah untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui perkhidmatan langsung, membuka peluang ekonomi dan memperkukuh kepercayaan awam terhadap inisiatif pembangunan,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Pelbagai pengisian menarik telah dirancang sepanjang program ini, termasuk pameran daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan dan swasta, selain pameran kerjaya yang memberi ruang kepada golongan belia dan pencari kerja mendapatkan maklumat dan peluang pekerjaan.
Sesi Pocket Talk yang membincangkan topik seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan siber turut dijadualkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu semasa.
Bagi meringankan beban kos sara hidup, program ini turut menawarkan Jualan Rahmah yang menyediakan barangan asas pada harga mampu milik di samping Karnival Usahawan RECODA yang akan memberi peluang kepada usahawan tempatan mempamerkan dan memasarkan produk mereka.
Kemuncak hiburan akan diterajui oleh Konsert Rakyat yang menampilkan artis popular tanah air seperti Baby Shima, Alleycats dan Ricky Andrewson, di samping pelbagai aktiviti komuniti seperti Battle of the Bands, zumba, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah Proton Saga 1.3 Premium, motosikal SM Sport 110E, iPad dan Smart TV.
Sebagai pelengkap kepada program utama di Miri, acara satelit PBM Subis 2025 turut akan berlangsung secara serentak pada 10 Mei di Stadium Terbuka Sepupok, Niah.
Program tersebut akan melibatkan aktiviti gotong-royong, saringan kesihatan percuma serta pameran oleh pelbagai agensi seperti LHDN, KWSP dan JKM.
Majlis perasmian PBM Miri 2025 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 10 Mei nanti. -EDISI UKAS