Pembangunan Infra Asas Kawasan Luar Bandar Diutamakan

Disiarkan pada 24 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar seperti jambatan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, pembinaan Jambatan Batang Saribas no1, Batang Saribas no2, dan Jambatan Batang Lupar bukti keprihatinan kerajaan GPS di kawasan luar bandar khususnya di kawasan Maludam, Pusa.

Katanya, Kampung Maludam sangat bertuah kerana menghubungkan jalan melalui ketiga-tiga jambatan berkenaan, di mana apabila siap kelak, ianya akan menjadi jalan penghubung ke kawasan bandar serta memendekkan masa perjalanan.

Tambah beliau, jambatan tersebut juga akan memberi manfaat kepada para petani tempatan memasarkan produk mereka untuk menjana pendapatan.

“Para usahawan di kawasan ini, perlulah mengambil peluang untuk mengembangkan produk di kawasan ini agar terus berjaya membawa hasil pertanian mahupun produk tempat ke kawasan lain.

“Saya sedia membantu melalui pusat khidmat P201 Batang Lupar jika para usahawan di kawasan ini inginkan bantuan. Melalui hasil produk yang dijual, ianya dapat mengembangkan ekonomi penduduk setempat.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Raya Peringkat P201 Batang Lupar & N 28 Lingga (Zon Maludam) di Dewan Masyarakat Kampung Maludam, Pusa pada Khamis.

Mohamad Shafizan turut mengingatkan ibu bapa agar memberi penekanan terhadap pendidikan anak-anak mereka agar terus berjaya.

Katanya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak di Sarawak untuk mereka terus menuntut ilmu.

“Kerajaan Sarawak merupakan negeri yang terus maju kehadapan setakat ini dan mampu untuk menyediakan kemudahan (projek meja) di negeri ini,” tambah beliau.

“Saya menyeru agar masyarakat di negeri ini teruslah bersatu hati, kekalkan perpaduan kerana itulah tunjang keamanan, kemakmuran kita di Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.”

Majlis diserikan dengan sumbangan duit raya kepada anak-anak sekitar Kampung Maludam, Pusa. - EDISI UKAS