Konsert MeleTOP TVS & Konsert Berkat Gawai–Kaamatan Dijangka Tarik Ribuan Pelawat Ke Miri

Disiarkan pada 24 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Miri bakal menjadi tumpuan peminat muzik apabila dua konsert mega percuma bakal berlangsung di bandar raya itu bulan depan.

Konsert MeleTOP TVS akan membuka tirai pada 17 Mei 2025 di Stadium Tertutup Miri, diikuti dengan Konsert Berkat Gawai–Kaamatan pada 21 Mei 2025, yang menampilkan Ratu Rock Malaysia, Ella.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran konsert berskala besar seperti ini akan memberi impak positif bukan hanya kepada penggemar muzik, tetapi juga kepada sektor ekonomi tempatan.

“Apabila acara muzik besar seperti ini dianjurkan, kita akan melihat kemasukan pengunjung dari seluruh negara termasuk negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan Indonesia.

Mereka datang untuk menikmati persembahan, dan dalam masa sama berbelanja untuk penerbangan, hotel, makanan, beli-belah serta kraftangan tempatan,” katanya dalam sidang media Konsert MeleTOP TVS & Konsert Berkat Gawai–Kaamatan di sini pada Khamis.

Tambah beliau, kedua-dua konsert ini dijalankan secara percuma, sekaligus dijangka menarik ribuan pengunjung ke Miri, sekaligus membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk penduduk tempatan.

Penganjuran kali ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila ia merupakan kolaborasi sulung antara TVS dan Astro, serta penampilan pertama program popular MeleTOP di luar semenanjung.

Antara barisan artis popular yang bakal menggegarkan pentas termasuk Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi.

Konsert Berkat Gawai–Kaamatan pula menampilkan Ella bersama Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX dan Marina Jara dari Kalimantan.

Konsert ini akan bermula jam 7:30 malam dan disiarkan di TVS pada 31 Mei 2025, jam 9 malam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal berkata, Miri dipilih sebagai lokasi utama memandangkan kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke utara Sarawak, Brunei dan Kalimantan.

“Dengan sambutan ulang tahun ke-20 Miri yang bakal tiba, inilah masa paling sesuai untuk menjadikan bandar raya ini sebagai pusat sambutan budaya dan muzik berskala besar,” ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Penolong Naib Presiden Kandungan Tidak Skrip, Gen Next Astro, Elyna Rahmat.

Kedua-dua konsert ini boleh ditonton secara langsung di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV & Unifi TV), Astro ONE, serta platform penstriman Sooka.-EDISI UKAS