DBP Terus Perkasa Bahasa Melayu & Bahasa Sukuan Di Sarawak

Disiarkan pada 24 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Komitmen Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasa penggunaan Bahasa Melayu dan pelestarian bahasa sukuan di Sarawak terus mendapat suntikan semangat melalui sokongan penuh daripada Kerajaan Sarawak.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata, pelbagai kegiatan perkembangan bahasa dan sastera, termasuk bahasa serta sastera sukuan telah mendapat sumbangan dan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, DBP turut memberi tumpuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

“Kami telah memaklumkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr). Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai pelaksanaan kegiatan perkembangan bahasa dan sastera di negeri ini, dan banyak daripada aktiviti tersebut mendapat dukungan yang amat bermakna daripada Kerajaan Sarawak. DBP amat menghargainya.

“Pada masa yang sama, kami juga maklum bahawa urusan rasmi di Sarawak masih dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa sukuan, terutama dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Khamis.

Dr Hazami menambah, tidak timbul isu bahawa bahasa kebangsaan tidak diutamakan di Sarawak kerana undang-undang tetap mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan usaha memperkukuh penggunaannya terus dipergiatkan.

Sebagai tanda keprihatinan terhadap kekayaan budaya linguistik di negeri ini, beliau menyatakan DBP turut memberi fokus terhadap pendidikan dan pelestarian bahasa sukuan.

“Antara inisiatif tersebut termasuk penubuhan jawatankuasa khas bagi mendokumentasi dan memelihara bahasa sukuan yang berisiko pupus.

“Kita mahu masyarakat terus mengenali dan menghargai bahawa Sarawak memiliki warisan linguistik yang sangat berharga, dan usaha dokumentasi ini penting untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Dr. Hazami menegaskan bahawa DBP akan terus menjalankan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu di samping menghormati keunikan dan keperluan perundangan serta budaya masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Sementara itu, dalam pertemuan tersebut, DBP turut menyampaikan undangan rasmi kepada Premier Sarawak, untuk hadir ke majlis Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.

Anugerah ini bertujuan mengiktiraf karya-karya penerbitan terbaik yang dihasilkan di negeri Sarawak, khususnya yang mendapat sokongan melalui geran atau peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

Majlis penganugerahan dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat, tertakluk kepada tarikh yang akan ditentukan oleh Pejabat Premier Sarawak.

“Ini adalah satu bentuk pengiktirafan penting oleh kerajaan negeri yang menunjukkan komitmen terhadap pembangunan keilmuan dan kesarjanaan di Sarawak,” ujar beliau.

Turut hadir sama kunjungan hormat tersebut adalah Pengarah Pengembangan Bahasa Dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Sarawak, Dr. Azizul Ismail serta tetamu lain.-EDISI UKAS