KUCHING: Projek pembinaan Wisma Melayu Islam yang terletak di Jalan Diplomatik, Petra Jaya dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan tersebut sepatutnya siap pada Julai ini, namun terdapat penambahbaikan atas nasihat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Sebenarnya Wisma Melayu ini dijangka siap pada Julai ini, tapi apabila kita membuat taklimat berhubung dengan kemajuan pelaksanaan bangunan ini, kita lihat daripada jauh memang cantik dengan reka bentuk tengkolok, tetapi kalau kita tengok dekat, macam rumah.
“Jadi Premier Sarawak nasihatkan kita supaya kita perbaiki dan disebabkan itu berlakulah kelewatan.
"Insya-Allah kita mempunyai sasaran supaya Wisma Melayu ini akan dapat siap pada suku ketiga tahun ini," katanya berucap dalam Majlis Samarindok Aidil Fitri 1446/2025m Anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di pada malam Rabu.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang.
Tambah Datuk Amar Awang Tengah, pembinaan Wisma Melayu ini akan menjadi satu mercu tanda penting bagi masyarakat Melayu Sarawak dan simbol usaha memperkasa budaya serta warisan bangsa.
Jelasnya, ia akan dilengkapi dengan sebuah dewan serbaguna yang mampu menampung seramai 2,000 orang dan sesuai digunakan untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan dan acara rasmi selain menempatkan galeri atau muzium Melayu Sarawak serta pusat informasi dan pendidikan berkaitan sejarah dan kebudayaan Melayu.
"Dengan siapnya wisma ini kelak, ia akan menjadi simbol perjuangan, pencapaian dan masa depan yang lebih cemerlang buat masyarakat Melayu di Sarawak,” katanya lagi.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Pengerusi AKYBMS, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datu Dr Sanib Said serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS