KUCHING: Konsep Segulai Sejalai yang membawa maksud hidup bersama dalam perpaduan sangat sinonim dengan corak kehidupan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, Sarawak bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi merupakan cerminan terbaik nilai “Perpaduan dalam Kepelbagaian” yang sebenar, menjadikan negeri ini contoh unik dalam landskap ASEAN yang penuh kepelbagaian.
“Di Sarawak, pepatah Iban ‘Segulai Sejalai’ bukan hanya slogan, tetapi amalan hidup harian masyarakat berbilang bangsa dan agama yang bersama-sama menikmati kemajuan dan kemakmuran negeri ini,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Sambutan Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-33 di sini pada malam Rabu.
Beliau menambah bahawa semangat ini terserlah dalam sambutan pelbagai perayaan seperti Gawai, Hari Raya, Krismas dan Tahun Baru Cina yang diraikan bersama tanpa mengira latar belakang.
Dato Sri Tiong menambah, Sarawak yang dihuni 34 kumpulan etnik turut diangkat sebagai model perpaduan yang harmoni dalam masyarakat majmuk.
Ahli Parlimen Bintulu itu juga mengajak para delegasi ASEAN menyaksikan sendiri nilai ini dalam lawatan mereka ke lokasi-lokasi warisan budaya seperti Annah Rais dan Kampung Budaya Sarawak.
Malam yang penuh warna-warni budaya itu turut menampilkan pelbagai juadah tradisional Sarawak dan persembahan seni, sekali gus memperkukuh imej negeri ini sebagai pusat pelancongan budaya yang hidup dan dinamik di rantau ini.
Bertemakan “Segulai Sejalai” sebagai teras utama, Sarawak sekali lagi membuktikan bahawa kepelbagaian bukan halangan, sebaliknya kekuatan dalam membina sebuah komuniti serantau yang bersatu.-EDISI UKAS