MUKAH: Impian penduduk Kampung Klid dan Kampung Plajau untuk memiliki akses jalan darat ke Pekan Dalat bakal menjadi kenyataan apabila Projek Pembinaan Jalan Kampung Medong/Lebrasau/Kampung Klid kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 48.56 peratus.
Projek berimpak tinggi yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Januari 2026 itu dijangka menamatkan kebergantungan masyarakat di kawasan tersebut kepada pengangkutan air yang selama ini menjadi satu-satunya medium perhubungan utama mereka.
Ketika melakukan lawatan kerja ke tapak projek pada Rabu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan lebih 70 hari yang dicatatkan projek tersebut, namun memberi jaminan penyelesaian segera sedang dirangka bersama pihak kontraktor.
“Projek ini telah lewat lebih 70 hari dan ini agak membimbangkan. Namun, kita akan mencari penyelesaian segera untuk memastikan jalan ini siap mengikut jadual.
“Kita juga telah berbincang bersama pihak kontraktor agar isu berkenaan diselesaikan dan projek siap pada Januari tahun depan,” katanya kepada media.
Skop projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 11.5 kilometer, jalan cabang (spur road) sepanjang 0.17 kilometer serta pembinaan tiga buah jambatan merentasi Batang Oya.
Laluan ini akan menghubungkan Daerah Dalat dengan Kampung Klid, Kampung Plajau serta Sekolah Kebangsaan Klid/Plajau.
Buat masa ini, penduduk kampung masih perlu menaiki bot laju kira-kira 30 minit dari penghujung Jalan Dalat–Lebrasau untuk ke kediaman masing-masing.
Kenderaan mereka pula biasanya diletakkan di kawasan pengambilan air Dalat/Lebrasau.
Datuk Amar turut mengarahkan pihak kontraktor agar melipatgandakan usaha serta memastikan koordinasi di antara semua pihak berkepentingan dilaksanakan dengan lebih teratur demi menepati tempoh pelaksanaan projek.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh serta tetamu lain.-EDISI UKAS