MUKAH: Projek pembinaan Jambatan Batang Igan yang sedang giat dilaksanakan kini telah mencapai tahap siap sebanyak 82 peratus, sekali gus memberi petunjuk positif terhadap usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam merapatkan jurang infrastruktur luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemajuan projek ini sangat memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2025.
“Kami sangat berpuas hati dengan kemajuan setakat ini. Hanya tinggal 18 peratus sahaja lagi untuk disiapkan. Kami telah memberitahu kontraktor, setiap bulan mereka mesti menyiapkan sekurang-kurangnya tiga peratus.
“Dengan sasaran dan garis masa itu, kami yakin projek ini akan siap mengikut jadual,” katanya semasa melakukan lawatan kerja rasmi ke tapak projek berkenaan di sini pada Isnin.
Projek ini melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 1,439.4 meter dengan reka bentuk dua lorong sehala (single carriageway) mengikut spesifikasi JKR R5 yang mampu menampung aliran trafik harian dengan lebih lancar dan selamat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pemantauan secara berkala amat penting bagi mengelakkan sebarang kelewatan tidak dijangka.
“Kami secara aktif turun padang untuk memastikan semua projek kami dilaksanakan mengikut jadual. Kami mahu mengenal pasti masalah sebelum ia menjadi halangan besar,” jelas beliau.
Setakat ini, projek jambatan tersebut tidak menghadapi sebarang isu besar dan berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Sementara itu, JKR Sarawak menyatakan komitmen berterusan mereka dalam menyampaikan projek-projek infrastruktur berkualiti tinggi, terutamanya bagi menjamin keselesaan dan kemakmuran rakyat luar bandar.-EDISI UKAS