Ahli Majlis Jambatan Penghubung Kerajaan Dengan Rakyat

Disiarkan pada 23 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Ahli Majlis yang menerima watikah pelantikan memainkan peranan penting dalam mendengar dan menyuarakan keperluan rakyat kepada pihak kerajaan termasuk wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menekankan, tanggungjawab besar yang digalas oleh setiap ahli majlis sebagai penghubung antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan.

“Anda adalah penghubung kerajaan dengan rakyat untuk mengutarakan sebarang perkara yang memerlukan khidmat pihak majlis kepada pihak berkuasa tertinggi,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Serian (MDS) sesi 2025–2028 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.

Seramai 32 ahli majlis telah mengangkat sumpah jawatan, termasuk lapan lantikan baharu yang diharapkan membawa semangat dan idea segar dalam pentadbiran daerah.

Pelantikan Dato’ Peter Minos sebagai Pengerusi Majlis Daerah Serian yang baharu turut menjadi tumpuan, memandangkan pengalaman luas beliau selama 10 tahun sebagai Wali Kota Majlis Perbandaran Samarahan.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Dr Richard Riot Jaem; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph; Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Datu Elizabeth Loh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus; ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek dan Setiausaha Majlis Daerah Serian, Tay Guan Huat.

Majlis ini menandakan permulaan kepada era baharu pentadbiran MDS yang diharapkan akan lebih responsif terhadap suara rakyat dan tuntas dalam melaksanakan pembangunan setempat.-EDISI UKAS