Tapak Warisan Seni Budaya Apau Koyan Lambang Identiti Masyarakat Orang Ulu

Disiarkan pada 23 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MURUM: Tapak Warisan Seni Budaya Apau Koyan yang bakal dibangunkan di Sg. Asap, Belaga disifatkan sebagai lambang identiti masyarakat Orang Ulu, mencerminkan kekayaan seni, budaya dan warisan yang diwarisi turun-temurun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon menegaskan bahawa penubuhan tapak ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memelihara serta memartabatkan warisan seni dan budaya masyarakat Orang Ulu.

“Warisan seni, budaya, bahasa, tarian, kraftangan, dan adat resam adalah khazanah berharga yang perlu kita pelihara dan wariskan kepada generasi akan datang.

“Ia bukan sekadar warisan fizikal, tetapi jiwa dan identiti kita sebagai masyarakat Orang Ulu,” katanya berucap dalam Majlis Pecah Tanah Tapak Warisan Seni Budaya Apau Koyan Sungai Asap, Belaga pada Selasa.

Beliau turut menyifatkan pembangunan Tapak Warisan Seni Budaya ini sebagai pencapaian besar serta impian yang kini menjadi kenyataan.

Tapak tersebut bakal menjadi pusat rujukan, pembelajaran serta destinasi pelancongan budaya yang berpotensi menarik pelawat dari dalam dan luar negara.

Selain itu, Kennedy turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, atas komitmen berterusan dalam pembangunan luar bandar termasuk pemerkasaan budaya tempatan.

Justeru, beliau menyeru semua pihak agar bekerjasama dalam memastikan kejayaan projek ini dari peringkat awal sehingga ia berfungsi sepenuhnya sebagai pusat warisan yang aktif dan bermanfaat kepada masyarakat.

“Semoga Tapak Warisan Seni Budaya Apau Koyan menjadi permata kebudayaan yang menyinari Belaga dan seluruh Sarawak,” ujar beliau. -EDISI UKAS