KANOWIT: Seramai 29 orang Ahli Majlis Daerah Kanowit (MDK) mengangkat sumpah sebagai Kaunselor bagi tempoh 1 April 2025 sehingga 31 Mac 2028.
Daripada jumlah tersebut, seramai enam merupakan ahli baru.
Majlis Angkat Sumpah dan Sesi Ikrar Ahli Majlis dan Menandatangani Penerimaan Jawatan itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Micheal Tiang Ming Tee di Dewan Pejabat Daerah di sini pada Selasa.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan Ahli-ahli Majlis Daerah Kanowit tentang peranan penting mereka dalam struktur tadbir urus tempatan, sebagai penghubung utama antara kerajaan tempatan dan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa ahli majlis adalah suara rakyat yang memastikan segala aspirasi, keperluan dan kebimbangan warga disampaikan dan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan.
"Anda memikul tanggungjawab yang besar dan pelbagai. Antaranya, membuat keputusan berkaitan pembangunan infrastruktur, perkhidmatan awam dan kesejahteraan komuniti," katanya.
Beliau turut menekankan peranan ahli majlis dalam memastikan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab, selain menangani isu-isu seperti perumahan, pengurusan sisa pepejal, pengangkutan dan pembangunan ekonomi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan menganggap tempoh perkhidmatan ini sebagai peluang untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pemegang taruh demi membentuk masa depan yang lebih baik.
"Kepimpinan bukan sekadar membuat keputusan. Ia adalah tentang mendengar suara rakyat, memahami keperluan mereka, dan memperjuangkan penyelesaian mampan yang mampu meningkatkan kualiti hidup," tambah beliau.
Terdahulu, Pengerusi Majlis merangkap Pegawai Daerah Kanowit, Jackline berkata setiap Ahli Majlis yang dilantik membawa bersama pengalaman, kepakaran dan perspektif unik yang dijangka memperkaya perbincangan serta memperkukuh proses membuat keputusan demi kepentingan masyarakat setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa atas kepercayaan yang diberikan kepada barisan kepimpinan baharu untuk menerajui majlis itu, sambil menegaskan bahawa amanah tersebut akan dipikul dengan penuh dedikasi dan integriti.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru warga Kanowit agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada ahli-ahli majlis yang baharu.
"Kami akan mendengar suara anda, memahami keperluan anda, dan memastikan setiap langkah yang diambil adalah demi kesejahteraan serta kemajuan daerah tercinta ini," katanya.
Turut hadir ADUN Machan, Allan Siden Gramong serta ADUN Ngemah, Anyi Jana. -EDISI UKAS