KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya untuk meneruskan pelbagai inisiatif dan program sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk dari segi bantuan kewangan, pembangunan infrastruktur, dan perluasan peluang keusahawanan di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara program utama yang akan diteruskan ialah Skim Kredit Mikro Sarawak, Skim Pinjaman Industri Kecil Dan Sederhana (SPIKS), Usahawan Teknikal Dan Vokasional (USTEV), Graduan Ke Aarah Keusahawan (GERAK), Go Digital, program keusahawan asas, teknikal dan digital yang berperanan penting dalam membantu penyesuaian dan pembangunan usahawan tempatan.
“Peruntukan untuk program-program ini akan kita teruskan. Ia dilaksanakan melalui kementerian kita dan fokus kepada PKS serta industri kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan,” katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) Bilangan 1 Tahun 2025 di sini pada Rabu.
Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak itu memberitahu, Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur melalui projek seperti Anjung Usahawan dan pembangunan estet industri di beberapa lokasi strategik.
Jelasnya, projek ini bukan sahaja menyediakan ruang perniagaan yang lebih sistematik, malah menyokong peningkatan pendapatan pengusaha kecil.
“Infrastruktur adalah asas penting. Kita sedang dan akan terus melaksanakan projek industri estate yang memberi manfaat terus kepada pengusaha kecil, sama ada di peringkat bahagian mahupun daerah,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak kerajaan persekutuan agar turut menyalurkan peruntukan yang mencukupi bagi pelaksanaan projek-projek ini demi kepentingan bersama dalam mengembangkan lagi penglibatan PKS dan bidang keusahawanan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat; Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dzulkornain Masron; Penasihat MINTRED, Dato Sri Naroden Majais serta pegawai-pegawai kerajaan Persekutuan dan Negeri yang hadir. -EDISI UKAS