Pemerkasaan Digital: Kunci Kemajuan PKS Masa Kini

Disiarkan pada 23 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan terus komited membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam meningkatkan daya saing mereka melalui pelbagai inisiatif strategik, terutamanya dalam aspek pemanfaatan teknologi maklumat (IT) dan pembangunan platform digital.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program bantuan yang merangkumi pinjaman mudah serta geran akan diteruskan sebagai sokongan modal kepada pengusaha-pengusaha tempatan ini memulakan mahupun mengembangkan perniagaan mereka.

Namun begitu katanya, tumpuan utama kini turut diberikan kepada usaha pembinaan kapasiti khususnya dalam membantu PKS menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat dunia digital.

“Kita beri tekanan kepada bagaimana pengusaha boleh memanfaatkan IT dan perkembangan teknologi dalam operasi mereka,.

“Ini termasuk pembinaan platform digital, peningkatan kemahiran pekerja, dan adaptasi kepada prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi harian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) Bilangan 1 Tahun 2025 di sini pada Rabu.

Selain itu, kerajaan juga terus menyokong promosi dan pengembangan pasaran PKS melalui penyertaan dalam pelbagai misi perdagangan dan pameran.

Bagi memantapkan lagi jaringan pasaran serantau jelasnya, pejabat-pejabat perdagangan seperti Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) telah diwujudkan termasuk perancangan untuk membuka pejabat serupa di Kalimantan sedang giat dijalankan.

“Tujuannya ialah untuk menghubungkan pengeluar dan pengusaha kita dengan pasaran serantau. Jika kita berjaya menembusi pasaran ini, ia akan melonjakkan lagi potensi pasaran kita,” tambahnya.

Mesyuarat melibatkan 80 anggota yang diwakulu 45 agensi Kerajaan Persekutuan dan 38 agensi Kerajaan Sarawak bertujuan untuk meneliti serta menentukan dasar pembangunan dan menkoordinasikan perancangan serta pelaksanaan program dan projek keusahawanan di Sarawak.

Usai mesyuarat tersebut, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak itu turut menyaksikan penyerahan dana tambahan sebanyak RM5 juta kepada Agrobank bagi pelaksanaan Skim Kredit Mikro Sarawak tahun 2025.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat; Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dzulkornain Masron; Penasihat MINTRED, Dato Sri Naroden Majais serta pegawai-pegawai kerajaan Persekutuan dan Negeri yang hadir. -EDISI UKAS