Taman Tasik Desa Ilmu Pacu Pembangunan Samarahan Sebagai Bandar Satelit Ceria

Posted on 23 Apr 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Majlis Pra Pelancaran Taman Tasik Desa Ilmu menjadi titik permulaan penting dalam usaha menjadikan Kota Samarahan sebagai sebuah bandar satelit yang kondusif dan ceria untuk didiami.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek ini merupakan hasil perancangan strategik oleh Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Menurut beliau, pembangunan pesat kawasan ini sebagai hub pendidikan dengan kehadiran institusi seperti Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM ) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadikan keperluan ruang rekreasi sangat mendesak bagi kesejahteraan komuniti.

“Kawasan ini mempunyai potensi tinggi sebagai lokasi riadah komuniti setempat dan meskipun belum siap sepenuhnya, taman ini sudah menjadi tumpuan penduduk untuk beriadah,” jelas beliau pada Selasa.

Projek yang menelan belanja sebanyak RM6.8 juta itu kini telah mencapai 22.43 peratus kemajuan sejak dimulakan pada November 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2025.

Taman yang dibangunkan di atas kawasan seluas 9.38 hektar ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, tandas awam, laluan joging serta jambatan kecil yang bakal menjadi tarikan utama pengunjung.

Tambah beliau, reka bentuk taman ini berasaskan konsep perahu tambang, simbol ikonik yang sinonim dengan Kota Samarahan dan unsur tersebut diterjemahkan melalui struktur utama taman seperti bumbung dan tiang yang menyerlahkan pergerakan mendayung, mencerminkan budaya penambang Sarawak.

“Reka bentuk ini bukan sahaja menyerlahkan identiti tempatan, malah turut memartabatkan sejarah dan budaya masyarakat setempat,” ujarnya.

Selain itu, IRSDA turut merancang pembangunan Boulevard Samarahan, sebuah projek ikonik pasca pertama yang bakal menjadi lokasi utama acara berskala besar, menggantikan Padang Sentral.

Boulevard sepanjang 2 kilometer dan lebar lebih 20 meter itu dijangka menjadi yang terbesar di Sarawak, lengkap dengan pelbagai kemudahan riadah serta berpotensi menarik kehadiran pelancong dan warga tempatan.

“Kita mahukan gaya hidup yang kondusif, bukan hanya kawasan kediaman yang sunyi selepas waktu kerja dan projek-projek ini bakal menceriakan Samarahan dan merapatkan hubungan kekeluargaan dalam komuniti,” tambah beliau lagi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo; Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee; ADUN Simunjan, Awla Dris; Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Anuar Da’an; Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali serta Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani. -EDISI UKAS