KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang dilantik semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Rabu.
Majlis pelantikan dimulakan pada jam 10 pagi dengan penyerahan surat pelantikan kepada Dato Idris sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pelantikan semula ini menyaksikan Dato Idris kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya selama tiga tahun sebelum ini.
Istiadat tersebut turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan), Dato Majang Renggi dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki.
Hadir sama, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Macha Ata serta Imam Besar Masjid Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.-EDISI UKAS