KUCHING: Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kerajaan Sarawak dan Universiti Malaya (UM) bagi menubuhkan Kursi Derma Kekal Premier Sarawak akan memberi fokus kepada empat tunjang utama dalam ekonomi baharu yang diamalkan oleh wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, empat tunjang tersebut ialah ekonomi hijau, ekonomi hidrogen, penjagaan kesihatan bioteknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Jelas beliau, menerusi MoA ini, UM akan melancarkan siri syarahan tahunan bertajuk Kuliah Yang Amat Berhormat Premier Sarawak yang direka untuk menggalakkan wacana awam, pertukaran ilmu dan dialog dasar dalam bidang berkenaan.
“Kursi ini akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang penting dalam ekonomi baharu seperti ekonomi hijau, yang merangkumi perdagangan karbon dan kredit karbon — inisiatif penting yang bertujuan untuk melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran serta ianya turut menumpukan kepada ekonomi hidrogen, termasuk bioenergi dan kuasa hidro, yang merupakan sumber tenaga bersih untuk masa hadapan.
“Penjagaan kesihatan bioteknologi turut menjadi fokus, di mana sains digunakan untuk meningkatkan kesihatan, perubatan dan pencegahan penyakit dan tidak ketinggalan juga ialah kepentingan AI, yang berpotensi menjadikan kerja lebih cekap dan pantas, namun memerlukan peraturan yang baik agar ia kekal adil dan selamat.
“Semua inisiatif ini selari dengan sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang juga memainkan peranan penting dalam usaha memerangi perubahan iklim,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Kursi Derma Kekal Premier Sarawak antara Kerajaan Sarawak dan UM, yang berlansung di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa inisiatif ini akan menjadi platform kepada agensi dan pembuat dasar di Sarawak khususnya dari sudut pandangan kritikal dan terkini, sekali gus mendorong kepada pembuatan keputusan yang lebih bermaklumat serta menggalakkan pembangunan penyelesaian praktikal demi kemajuan dan pertumbuhan wilayah ini.
“Saya berharap bahawa siri syarahan ini akan menghimpunkan bukan sahaja pembuat dasar dan pemimpin industri, tetapi juga komuniti akademik seperti universiti, penyelidik dan cendekiawan kita yang memainkan peranan penting dalam membentuk idea baharu.
“Dalam jangka masa panjang, usaha ini akan memperkukuh kapasiti intelektual Sarawak, menyokong tadbir urus yang baik, dan mempersiapkan rakyat kita untuk memimpin dalam dunia yang pantas berubah,” jelas beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Datuk Amar Jaul Samion; Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid; Naib Canselor UM, Dato Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel. -EDISI UKAS