KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menegaskan bahawa tiada diskriminasi gender dalam soal kepimpinan, malah menyatakan bahawa wanita kini memainkan peranan penting dalam mencorak landskap politik dan ekonomi serantau.
Berucap dalam Majlis Makan Malam Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita (WAIPA) 2025 di Kuching malam tadi, beliau memuji pencapaian dan kebolehan golongan wanita, khususnya dalam konteks Asia Tenggara yang menurutnya, telah lama menjadi pentas tokoh-tokoh besar dunia yang mampu menguruskan kuasa dengan bijaksana.
“Saya mendengar sepanjang hari tentang kekuatan wanita. Di universiti dan kolej, pemenangnya adalah perempuan.
"Saya sendiri mempunyai seorang anak perempuan yang hebat. Oleh itu, tiada diskriminasi dalam gender. Sesiapa yang layak dan mampu, boleh memimpin,” katanya.
Tan Sri Mohamad Asfia turut mengaitkan peranan wanita dalam era dunia multipolar hari ini dengan keperluan ASEAN untuk terus mengekalkan kestabilan, kemakmuran dan kerjasama rentas negara.
Beliau turut mengimbau tokoh-tokoh berpengaruh seperti Tunku Abdul Rahman, Sultan Omar Ali Saifuddien III dan Lee Kuan Yew yang telah berjaya mendapatkan kemerdekaan negara masing-masing tanpa pertumpahan darah, sebagai simbol kebijaksanaan dan kekuatan kepimpinan Asia Tenggara.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru agar kerjasama serantau diperkukuh dan institusi Parlimen terus diperkasa melalui penyertaan aktif wanita, khususnya dalam mendepani cabaran geopolitik global masa kini.
“Dengan perdagangan kita mencecah 3.5 trilion USD, kita bukan lagi kuasa kecil.
"Ini adalah masanya untuk kita bangkit sebagai kuasa yang diberkati di Asia Tenggara, di Selatan Pasifik dan di pentas dunia,” tambah beliau.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada ketua-ketua delegasi dari negara anggota ASEAN dan sesi fotografi simbolik sebagai tanda penghargaan dan solidariti serantau.-EDISI UKAS