Sarawak Akan Pinda Ordinan Biodiversiti Sarawak, Galak Penyelidikan & Komersial Hasil Kajian

Disiarkan pada 22 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meminda Ordinan Biodiversiti Sarawak bagi menjalankan penyelidikan serta mengkomersialkan hasil kajian biodiversiti di wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pindaan ordinan itu penting bagi membolehkan potensi komersial bahan biodiversiti dimanfaatkan secara optimum, termasuk melalui kerjasama strategik dengan pihak berkuasa yang sah.

“Di bawah ordinan sedia ada, Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) tidak dibenarkan menjalankan aktiviti komersial.

“Saya telah memutuskan supaya ordinan tersebut dipinda agar penyelidikan dan komersialisasi boleh dilaksanakan, dan hasilnya dapat dikongsi bersama dunia,” katanya semasa Majlis Pelancaran Vision With Action For Biodiversity: Policy And Plan di Imperial Hotel, pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, antara contoh penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan adalah kajian terhadap alga yang berkemungkinan menghasilkan bahan api bio, termasuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Jelas beliau, jika SBC tidak dibenarkan bekerjasama secara komersial, Sarawak akan kehilangan peluang besar dalam industri tenaga hijau.

“Jika alga ini mampu hasilkan bahan api bio, dan menjadi SAF maka kita turut menyumbang kepada industri penerbangan dengan bahan api yang mesra alam di mana ia akan mengurangkan pelepasan karbon daripada pesawat,” jelasnya.

Tambah beliau, langkah ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dan mencerminkan pendekatan berasaskan alam semula jadi dalam pembangunan ekonomi.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut berkongsi penemuan baharu mengenai sejenis pokok asli yang dikenali sebagai Kalapaya, yang memiliki pertumbuhan pesat serta tekstur kayu lebih baik berbanding akasia.

Pokok ini katanya, berpotensi digunakan dalam penghasilan biojisim untuk penjanaan kuasa hibrid menggunakan campuran biojisim, gas dan hidrogen.

“Malah, dengan campuran hidrogen dan karbon, kita boleh hasilkan gas sintetik. Semua ini perlukan dasar yang sesuai, dan ia penting untuk Sarawak mencapai piawaian ESG (Environmental, Social, Governance),” tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa pelan dan tindakan biodiversiti Sarawak harus merangkumi aspek ekonomi, kemakmuran, keterangkuman, serta kelestarian alam sekitar.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Abdullah Julaihi serta Wakil Residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkíc.-EDISI UKAS