SIBU: Kerajaan Sarawak akan terus komited memberi sokongan yang padu terhadap Sekolah Menengah Persendirian Cina, dengan mengiktiraf peranan penting mereka dalam sistem pendidikan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sumbangan sekolah-sekolah ini dalam melahirkan pelajar berkualiti tinggi yang menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara tidak boleh dinafikan.
“Kita mungkin datang dari latar belakang dan sistem persekolahan yang berbeza, namun kita berkongsi matlamat yang sama untuk meningkatkan mutu pendidikan di Sarawak, tanpa mengira bahasa pengantar atau sistem persekolahan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Town Hall Meeting Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina di Sekolah Menengah Wong Nai Siong, Sibu pada Selasa.
Jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah menganggap sekolah persendirian Cina sebagai entiti asing dalam sistem pendidikan negeri, sebaliknya mengiktiraf mereka sebagai komponen penting dalam ekosistem pendidikan Sarawak.
Beliau turut memberi jaminan bahawa isu-isu yang dibangkitkan seperti kelestarian kewangan, latihan guru, dan kurikulum sedang diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
Meskipun hal-hal pendidikan berada di bawah bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak tetap komited untuk memperjuangkan dasar yang inklusif serta kerjasama yang bersifat menyeluruh, selaras dengan konteks dan keperluan pendidikan unik di negeri ini.
"Kami sedar akan cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah persendirian Cina. Oleh itu, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat akan terus meneroka ruang kerjasama dan sokongan yang berkesan, agar kita dapat berfungsi sebagai satu keluarga besar dalam memajukan pendidikan anak-anak Sarawak.
"Apabila kita mengukuhkan satu bahagian sistem, kita memperkukuh keseluruhannya. Melabur dalam pendidikan bererti melabur dalam masa depan negeri,” tambahnya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga telah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC), iaitu kelayakan akademik tertinggi bagi pendidikan Cina persendirian, sejak tahun 2014.
Dalam sesi dialog itu juga, pihak sekolah turut menyuarakan harapan agar kerajaan negeri mempertimbangkan penyaluran dana tambahan, khususnya bagi menaik taraf kemudahan seperti makmal STEM.
Dato Sri Roland menjawab, permohonan ini seharusnya dikemukakan oleh Lembaga Sekolah Menengah Cina Persendirian kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan sewajarnya.
Turut serta dalam sesi townhall adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr. Annuar Rapa'ee; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II, Datuk Francis Harden Hollis; Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak, Adana Jed; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Les Met dan Temenggong Vincent Lau Lee Ming. -EDISI UKAS