TANJONG MANIS: Projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Penibong yang terbengkalai lebih enam tahun dijangka akan disambung semula apabila kontraktor penyelamat dilantik dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab telah bertanyakan perkembangan projek tersebut kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mendapat maklum balas bahawa kerja-kerja pembinaan akan disambung sebaik sahaja kontraktor penyelamat dilantik.
“Apa yang dimaklumkan oleh pihak JKR, kontraktor penyelamat kini dalam proses lantikan untuk sambung kerja-kerja membina sekolah itu. Itu yang kita dimaklumkan,” jelasnya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri baru-baru ini.
Ir Yusuf turut menyatakan harapannya agar proses lantikan kontraktor dapat dipercepatkan agar pembinaan sekolah yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk kampung itu dapat diteruskan.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila tiga projek pembinaan masjid di kawasan Parlimen Tanjong Manis juga masih belum dilaksanakan walaupun beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak telah dijalankan.
“Yang sangat penting dan menjadi isu kepada diri saya sendiri dan pengerusi masjid ialah projek pembinaan Masjid Kampung Paloh, Semop dan Penibong.
"Walaupun banyak kali dibuat lawatan tapak dan perbincangan dengan pihak State Planning Authority (SPA), projek masih belum dilaksanakan,” katanya.
Majlis yang diadakan pada Selasa lalu berlangsung di empat buah kampung iaitu Kampung Salah Kecil, Betanak, Penibong dan Penuai, dan turut dihadiri Ketua-Ketua Kaum serta penduduk setempat. -EDISI UKAS