SIMUNJAN: Sesi raptai penuh bagi Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Simunjan (MDS) berlangsung dengan lancar di Dewan Mesra Simunjan, pada Selasa.
Raptai tersebut diadakan sebagai persiapan akhir menjelang majlis rasmi angkat sumpah yang dijadualkan berlangsung pada Rabu.
Ia melibatkan kesemua 31 individu yang telah dilantik sebagai Ahli Majlis bagi penggal perkhidmatan dari 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Sesi raptai ini bertujuan memastikan kelancaran dan kesempurnaan perjalanan majlis rasmi termasuk susunan protokol, tatacara majlis serta persediaan logistik dan teknikal.
Majlis angkat sumpah yang akan disempurnakan esok dijangka disaksikan oleh Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak (Kerajaan Tempatan), Datuk Dr. Penguang Manggil dan akan turut dihadiri oleh ADUN Simunjan.
Hadir semasa sesi raptai itu ialah Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Mohammad Zaini Morshidi.-EDISI UKAS