KAPIT: Program Sembang Santai: Promosi Kuih Tradisional anjuran Jabatan Penerangan dilihat berpotensi besar sebagai medium efektif dalam memperkenal serta memelihara warisan kulinari tempatan, khususnya kuih-muih tradisional masyarakat Iban.
Program diadakan di Rumah Manok Manchal, Lubok Mawang, Sungai Yong, Kapit pada Selasa ini melibatkan penyertaan ahli Komuniti MADANI (KM) Lubok Mawang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Ia menjadi platform interaktif dalam memperkenalkan teknik penyediaan kuih tradisional seperti sarang semut dan penyaram — hidangan yang lazim dihidangkan sempena musim perayaan seperti Hari Gawai.
Para peserta berpeluang menyaksikan demonstrasi penyediaan dan memasak kuih-kuih tersebut secara langsung oleh Gansau Bungkong, 55, seorang suri rumah merangkap ahli jawatankuasa KM Lubok Mawang.
Pengerusi KM, Mary Jalak, 55, turut berkongsi resipi turun-temurunnya dalam pembuatan kuih tradisional lain seperti cuan (kuih ros), kuih sepit serta pelbagai jenis kuih-muih yang mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan.
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi beliau lebih awal di talian 014-208 7704.
Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Kapit, Mohd Said Kalihing menyatakan bahawa program Sembang Santai bukan sahaja menjadi platform penyampaian maklumat semasa, sebaliknya turut berperanan sebagai saluran penting untuk mendengar suara komuniti akar umbi, khususnya penduduk rumah panjang di kawasan tersebut. - EDISI UKAS