LIMBANG: Usaha membina masyarakat luar bandar yang berdikari dan berdaya saing terus diperkasa menerusi Majlis Perasmian Anjung Usahawan Kampung Pahlawan serta Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di sini pada Selasa.
Majlis yang berlangsung di Anjung Usahawan Kampung Pahlawan itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam ucapannya, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan bahawa pembangunan prasarana keusahawanan seperti ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan keupayaan ekonomi luar bandar, khususnya dalam kalangan belia.
“Perusahaan kecil dan sederhana (IKS) memainkan peranan besar dalam meningkatkan pendapatan isi rumah dan membuka peluang pekerjaan, terutamanya di kawasan luar bandar. Dengan kemudahan ini, kita berharap lebih ramai belia berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti program GERAK (Gerak Ekonomi Rakyat Sarawak) dan Sarawak Mikro Kredit untuk memberdayakan rakyat dengan akses pembiayaan, latihan serta kemudahan perniagaan yang menyeluruh.
Projek bernilai RM3.216 juta itu melibatkan pembinaan 14 unit kedai, sembilan unit gerai makan, serta fasiliti sokongan seperti pejabat pengurusan, surau, tandas awam, tempat letak kereta dan kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU).
Premis perniagaan tersebut secara rasmi diserahkan kepada Majlis Daerah Limbang selaku pemilik aset.
“Dengan kemudahan ini, kita bukan sahaja mengembangkan potensi ekonomi tempatan, tetapi juga menyediakan sokongan nyata kepada pengusaha mikro yang memerlukan ruang untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka,”ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latif, pembinaan Anjung Usahawan ini merupakan salah satu inisiatif strategik Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menerusi NRDA dalam menyokong pembangunan ekosistem ekonomi setempat dan menyediakan landasan kukuh kepada usahawan tempatan untuk berkembang maju.
“Anjung Usahawan ini diharap menjadi pusat tumpuan aktiviti ekonomi yang memberi peluang kepada komuniti untuk menjalankan perniagaan, memasarkan produk tempatan, membina rangkaian niaga, dan merangsang pertumbuhan ekonomi mikro di luar bandar,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan sambutan Ramah Tamah Aidilfitri bersama lebih 150 penduduk setempat dan pemimpin komuniti dalam suasana harmoni dan mesra, mencerminkan semangat perpaduan pelbagai kaum di Limbang.-EDISI UKAS