Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Perkukuh Silaturrahim Warga Pentadbiran Bahagian Miri

Posted on 22 Apr 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Pejabat Residen Bahagian Miri pada Selasa menghimpunkan kira-kira 40 warga kerja daripada pelbagai unit dan seksyen dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan.

Majlis yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri itu telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang, yang turut menyampaikan ucapan menyentuh kepentingan sambutan perayaan sebagai medium memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam kalangan kakitangan.

Menurut beliau, program seumpama ini bukan sahaja meraikan Aidilfitri, malah menjadi simbolik kepada nilai-nilai persefahaman, toleransi dan keharmonian yang terus dipupuk dalam persekitaran kerja.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua warga pentadbiran atas semangat perpaduan serta komitmen yang ditunjukkan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Galong kemudiannya menyantuni para tetamu yang hadir dan menzahirkan harapan agar semangat kekitaan dan kerjasama yang telah terbina dapat terus diperkukuhkan, bukan sahaja dalam pentadbiran, malah dalam kalangan komuniti setempat.

Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Miri, Bujang Rahman Seli; bersama pegawai-pegawai kanan serta seluruh kakitangan dari pelbagai unit dan bahagian di bawah Pentadbiran Bahagian Miri.-EDISI UKAS