KUCHING: Bakat dan potensi wanita dalam usaha memperkukuh pembangunan negeri perlu dimanfaatkan khususnya dalam pengisian jawatan kepimpinan serta penglibatan aktif dalam sektor-sektor strategik.
Pengerusi Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Tan Sri Dato Zarinah Anwar berkata, usaha memperkasa wanita melalui pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran merupakan kunci utama bagi memastikan penyertaan yang lebih seimbang antara lelaki dan wanita dalam semua peringkat organisasi dan sektor awam mahupun swasta.
“Matlamat utama adalah untuk memperkukuh kompetensi wanita serta membantu mereka memahami cabaran yang dihadapi dalam mendaki tangga kerjaya.
"Kita mahu membuka lebih banyak peluang untuk wanita mengisi jawatan kepimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.
Tambah beliau, statistik menunjukkan lebih 60 peratus graduan universiti di Malaysia adalah wanita, namun pengisian jawatan tertinggi dan kepimpinan masih didominasi oleh lelaki.
Keadaan ini menuntut perhatian serius bagi memastikan bakat dan kepakaran wanita tidak disia-siakan, ujarnya.
“Adalah amat penting untuk semua organisasi, termasuk kerajaan negeri, memanfaatkan semua bakat yang dimiliki – baik lelaki mahupun wanita – agar dapat menghasilkan keputusan terbaik untuk organisasi dan pembangunan negeri,” tambah beliau.
Ditanya mengenai respons yang diberikan oleh Datuk Patinggi Abang Zohari, Tan Sri Zarinah menyatakan Premier Sarawak memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif pembangunan kapasiti wanita yang dilihat selari dengan visi kerajaan dalam memperkasa sumber manusia sebagai pemacu utama kemajuan negeri.
Jelasnya, Datuk Patinggi Abang Zohari amat menitikberatkan pembangunan sumber manusia dan melihat kerjasama bersama SCOPE sebagai platform penting untuk memperkukuh kapasiti dan kompetensi tenaga kerja Sarawak.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim Jit Sek dan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Kepimpinan Wanita Asia Prof Dr Sushila Khrisnaswamy-Chang. -EDISI UKAS