Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi Jawatankuasa Parlimen EFTA

Disiarkan pada 22 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Parlimen Persatuan Dagangan Bebas Eropah (EFTA) di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.

Kunjungan hormat tersebut merupakan sebagai sebahagian daripada lawatan kerja selama seminggu ke Malaysia dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara parlimen, mendapatkan maklumat dan pandangan secara langsung, serta meraih sokongan politik bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (Malaysia Economic Partnership Agreement – MEEPA) yang telah dimuktamadkan pada 11 April 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Parlimen EFTA & Ketua Delegasi Iceland, Grimur Grimsson telah mengetuai kunjungan hormat tersebut.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Delegasi Negara Norway Trine Lise Sundnes, Ketua Delegasi Negara Switzerland Thomas Aeschi dan Ketua Delegasi Negara Liechenstein Sebastian Gassner serta dif kehormat lain.

Dalam sidang media, Grimur memberitahu, kunjungan hormat terhadap Datuk Patinggi Abang Zohari adalah untuk membincangkan mengenai industri tenaga hijau.

"Kami sedang membincangkan tentang pembangunan dan pengeluaran tenaga terutamanya dalam tenaga hijau.
"Kemampanan dan tenaga hijau adalah kata kunci dalam hal ini termasuk dalam penangkapan karbon juga," katanya.

Dalam pada itu, Trine Lise Sundnes memberitahu, Norway juga berminat dengan industri alga yang diusahakan di Sarawak terutamanya yang digunakan dalam tenaga hijau.

Ujarnya, Norway mempunyai pengeluaran alga yang besar dalam konteks bekalan makanan.

"Namun di Sarawak, semasa kami melawat pusat biodiversiti, kami turut melihat teknologi yang lebih maju berkaitan hal tersebut, jadi ia sangat menarik," ujarnya. -EDISI UKAS