LAWAS: Kemudahan pendidikan luar bandar terus diperkasa apabila Sekolah Kebangsaan Ulu Merapok menerima tambahan blok asrama pelajar dan empat unit kuarters guru yang baharu.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang turut diserikan dengan sambutan Ramah Tamah Aidilfitri Zon Ulu Merapok pada Isnin.
Majlis anjuran Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu diadakan di Pusat Khidmat Ulu Merapok dan menghimpunkan lebih 450 penduduk tempatan serta pemimpin masyarakat.
Projek naik taraf SK Ulu Merapok merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan infrastruktur pendidikan luar bandar oleh NRDA di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan nilai keseluruhan infrastruktur pendidikan di daerah Lawas berjumlah RM16.5 juta.
Dalam ucapannya, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan pentingnya agensi pelaksana memberikan maklumat tepat kepada kerajaan negeri bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan projek benar-benar memberi impak maksimum.
Beliau turut menekankan bahawa walaupun pendidikan merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak tetap berhak menyuarakan keperluannya.
“Sebab itu kita peruntukkan RM160 juta di bawah NRDA untuk penambahbaikan sekolah dan infrastruktur pendidikan di Limbang dan Lawas – kerana kita tak boleh tunggu terlalu lama. Banyak projek kita guna dana sendiri,” tegas beliau.
Beliau turut menggesa ketua jabatan dan agensi agar memberi input yang jujur dalam proses merancang projek, termasuk cadangan untuk memindahkan tapak SK Ulu Merapok ke lokasi lebih selamat memandangkan kawasan sedia ada kerap dilanda banjir.
Dalam majlis sama, beliau turut menyeru penduduk Lawas agar memanfaatkan kemudahan seperti Pusat Perkhidmatan Mini dan Kompleks CENTEXS yang disediakan untuk membantu pengusaha tempatan memasarkan produk dan pelajar meningkatkan kemahiran.
Sementara itu Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latif berkata, pelaksanaan projek ini bukan sekadar menyediakan fasiliti baharu, tetapi mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti meskipun di kawasan pedalaman.
“Projek ini akan memberi persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa kepada murid-murid, serta meningkatkan semangat guru untuk terus berkhidmat di Ulu Merapok,” katanya ketika berucap.
Beliau turut memaklumkan bahawa SK Ulu Merapok adalah antara lima sekolah di kawasan Lawas yang sedang dinaik taraf, selain SK Kampung Seberang, SK Merapok, SMK Merapok dan SK Kuala Lawas.
Setakat ini jelasnya, sebanyak 161 projek pembangunan telah diselaras NRDA di Limbang dan Lawas, dengan 69 peratus daripadanya telah siap sepenuhnya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada para VIP dan sesi ziarah mesra bersama penduduk kampung, disusuli jamuan Aidilfitri.-EDISI UKAS