KOTA KINABALU: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengiktirafan bersama label keselamatan peralatan elektrik dan gas, sekali gus mengukuhkan kerjasama strategik antara dua negeri itu.
Majlis menandatangani MoU bersejarah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, memorandum itu membolehkan perkakas elektrik dan gas yang mempunyai label keselamatan yang diiktiraf seperti SIRIM dan diterima pakai di kedua-dua negeri.
“Kita bersetuju supaya mana-mana perkakas elektrik dan gas yang mempunyai label SIRIM dan lain-lain yang berkaitan diterima di kedua-dua, Sabah dan Sarawak. Ini supaya ada 'free flow' untuk pengiktirafan peralatan elektrik dan gas,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Dato Ibrahim Baki, Pengarah Pengedaran Gas Sarawak, Kasvenda Kassim serta pegawai kanan dari kedua-dua agensi.
Pertukaran dokumen MoU dilakukan antara Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid yang mewakili Kerajaan Sabah dan Setiausaha Tetap MUT Sarawak, Datu Jafri Lias.
Dalam ucapannya, Datuk Ir. Abdul Nasser menyifatkan MoU itu sebagai langkah penting dalam menyelaraskan sistem kawal selia di kedua-dua negeri.
“Ia merupakan satu langkah penting dalam mewujudkan sistem kawal selia yang dipersetujui bersama di antara Sabah dan Sarawak melalui kerjasama ini.
"Kedua-dua negeri akan mengiktiraf secara bersama label keselamatan bagi peralatan elektrik dan gas,”katanya.
Langkah proaktif ini dijangka memberi manfaat kepada pengimport, pengedar, penjual dan pengguna di Sabah dan Sarawak, dengan pelaksanaan standard keselamatan yang seragam dan saling diiktiraf.-EDISI UKAS