Serah Terima Tugas & Pemakaian Pangkat Warnai Kepimpinan Baharu Polis Sarawak

Posted on 22 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Pangkat bagi beberapa jawatan utama dalam Polis Kontinjen Sarawak telah berlangsung dengan penuh istiadat di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada Isnin.

Majlis disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada SAC Nor Omar Sappi.

SAC Nor Omar kemudiannya secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KJKDNKA) daripada Supt Samima Mustapha.

Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching dan KPD Miri daripada ACP Mohd Farhan Lee Abdullah kepada ACP Alexson Naga Chabu yang turut berlangsung dalam suasana penuh hormat.

Dalam acara sama, turut berlangsung serah terima jawatan Pengerusi PERKEP IPD Kuching dan IPD Miri antara Arabia Abdul Rahim dan Josselyn Roland Demong yang disaksikan oleh Ketua Biro Kebajikan PERKEP Sarawak Puspawati Mohd Aris.

Dalam ucapannya, Dato Mancha mengucapkan tahniah kepada semua pegawai yang terlibat atas kenaikan pangkat dan pelantikan baharu.

Beliau menzahirkan harapan agar semua pegawai dapat menjalankan amanah yang diberi dengan penuh integriti dan dedikasi demi keselamatan serta ketenteraman awam.

“Saya yakin bahawa barisan kepimpinan baharu ini mampu menggalas cabaran tugas dengan cemerlang, sejajar dengan aspirasi Polis Diraja Malaysia untuk terus memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan,” katanya. -EDISI UKAS