Edisi Pertama SIPBR2025 Bakal Kocakkan Sungai Rajang

Disiarkan pada 21 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Sungai Rajang yang sekian lama sunyi dan tenang bakal kembali bergema dengan deruman enjin bot laju apabila Sibu International Powerboat Race 2025 (SIPBR2025) dianjurkan buat pertama kalinya di Sarawak bermula 25 hingga 27 April ini.

Bertemakan “D’Awakening Of The Mighty Rajang River”, acara ini bukan sekadar perlumbaan sukan air bertaraf antarabangsa, malah merupakan simbol kebangkitan semula sungai terpanjang di Malaysia sebagai lokasi ikonik yang berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan sukan dan rekreasi.

Menurut Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, SIPBR2025 akan menjadi acara pembuka tirai musim perlumbaan powerboat di Sarawak tahun ini, serta mengangkat nama Sibu ke pentas antarabangsa.

“Sungai Rajang bukan sekadar laluan air – ia adalah nadi kehidupan masyarakat di sini. Melalui SIPBR2025, kita menghidupkan semula semangat Sungai Rajang sebagai medan penuh aksi, adrenalin dan kemeriahan rakyat,” katanya dalam sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu pada Isnin.

Pulau Li Hua Waterfront dipilih sebagai lokasi utama perlumbaan atas faktor strategik seperti keluasan kawasan terbuka, pemandangan 360 darjah tanpa halangan serta kedudukannya yang berhampiran pusat bandar, sekaligus memudahkan kehadiran pengunjung dan pelancong.

Setakat ini, sebanyak 262 bot telah mendaftar dalam pelbagai kategori perlumbaan, termasuk penyertaan dari Brunei Darussalam.

Ini menjadikan SIPBR2025 medan persaingan sengit antara pelumba tempatan dan antarabangsa.

Dalam usaha memastikan keselesaan dan kelancaran acara, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma dari Pusat Komersial Pulau Li Hua ke lokasi utama perlumbaan sepanjang tiga hari penganjuran.

Abang Mohamad Porkan turut menyeru seluruh masyarakat, baik dari dalam mahupun luar negara, untuk hadir memeriahkan acara ini.

“Marilah kita raikan SIPBR2025 dengan penuh semangat. Rasai debaran perlumbaan bot laju, sertai aktiviti komuniti, dan hayati keunikan budaya serta keindahan Sibu,” katanya.-EDISI UKAS