Sarawak Bakal Miliki Jenama Kopi Sendiri

Posted on 12 May 2024
Source of News: UKAS




SIBURAN: Sarawak bakal mempunyai jenama kopinya tersendiri memandangkan penanaman kopi di kawasan Mambong semakin mendapat sambutan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, projek penanaman kopi secara besar-besaran sudah dimulai di Kampung Bayur dan Kampung Jambu dengan keluasan tanah seluas 1,000 ekar.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut terlibat bagi membantu golongan pekebun kopi dengan melaksanakan projek rintis bersama Jabatan Pertanian dalam penanaman kopi jenis Liberica yang dikatakan mempunyai daya ketahanan yang tinggi kepada penyakit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pembukaan kedai kopi MALANDA di sini pada Sabtu.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu lagi, jenama kopi ini mampu menembusi pasaran antarabangsa sekiranya mendapat sambutan daripada golongan petani untuk mengeluarkan kopi secara terus.

Sehingga kini, sambutan yang menggalakkan daripada golongan petani dan pesara penjawat awam mendekatkan lagi impian beliau untuk menghasilkan kopi jenama Sarawak.

Namun, nama kopi keluaran Sarawak belum lagi ditetapkan memandangkan beliau perlu membuat perbincangan di peringkat kepimpinan terlebih dahulu.

Bagi mencapai hasrat ini, Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah memperuntukkan dana berjumlah RM8 juta bagi membina pusat pengumpulan kopi yang akan dibina tidak lama lagi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari dan Setiausaha Majlis Daerah Serian Nicholas Jun. -EDISI UKAS