UNIMAS Cadang Tubuh Persatuan Pencinta Haiwan, Pantau Haiwan Terbiar Dalam Kampus

Disiarkan pada 21 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bercadang untuk menubuhkan sebuah persatuan pencinta haiwan di peringkat kampus bagi memantau kebajikan haiwan terbiar termasuk kucing dan anjing, serta menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

Ia dijelaskan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit sebagai komitmen pihaknya dalam menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar di dalam kampus walaupun institusi itu tidak menawarkan program pengajian veterinar ketika ini.

Menurutnya, ia susulan isu tular kematian seekor anak kucing di kawasan kampus yang mencetuskan kebimbangan dan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat umum.

“Kita memang tiada fakulti atau program veterinar di UNIMAS buat masa ini.

“Namun itu tidak bermakna kita lepas tangan. Kita telah berhubung dengan pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menyiasat kejadian ini,” ujar beliau ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UNIMAS pada Isnin.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati anak kucing berkenaan mati akibat keadaan fizikal yang lemah dan bukan kerana perbuatan zalim seperti yang ditularkan.

Berdasarkan keterangan saksi dan rakaman video, ibu kucing tersebut dilihat memakan bangkai anaknya, satu tingkah laku semula jadi haiwan dalam keadaan tertekan atau untuk mengelakkan ancaman.

“Walaupun kita bukan universiti veterinar, kita tetap universiti yang menjunjung nilai kemanusiaan.

“Kita takkan sembunyikan fakta dan kita akan bantu siasatan sebaik mungkin,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk tidak membuat spekulasi berlebihan berdasarkan maklumat yang belum disahkan, agar nama baik institusi dan warga kampus tidak tercemar akibat salah faham.-EDISI UKAS