Wanita Sarawak Terus Cipta Perubahan Besar

Disiarkan pada 21 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Wanita di Sarawak terus mencipta perubahan besar dalam pelbagai bidang, menjadi nadi penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan kepimpinan negeri.

Demikian ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan khas sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) 2025 : Mempercepatkan Tindakan, di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Isnin.

Menurut beliau, peranan wanita tidak hanya tertumpu kepada tanggungjawab domestik, malah semakin terserlah sebagai pendidik, penjaga kesihatan, pemimpin masyarakat serta pemacu kepada inovasi dan ekonomi.

“Wanita di Sarawak hari ini bukan sahaja menyumbang secara signifikan dalam sektor formal, malah turut menjadi penggerak utama dalam sektor tidak formal. Peranan mereka dalam membina komuniti dan ekonomi tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.

Sementara itu, Dato Sri Fatimah turut mendedahkan bahawa wanita kini merangkumi lebih 47 peratus daripada tenaga kerja berdaftar di Sarawak.

Angka ini katanya, dijangka lebih tinggi apabila penglibatan wanita dalam sektor tidak formal turut diambil kira.

“Penyertaan wanita dalam bidang pendidikan menunjukkan trend positif. Semakin ramai pelajar perempuan menamatkan pendidikan menengah dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, Dato Sri Fatimah juga memperkenalkan satu inisiatif baharu yang akan dilancarkan tahun ini iaitu anugerah khas kepada organisasi yang mengamalkan dasar mesra wanita, termasuk dasar kerja fleksibel, keselamatan di tempat kerja dan peluang kenaikan pangkat yang adil.

Anugerah ini katanya, akan diumumkan pada sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak kelak, bertujuan memberi pengiktirafan kepada majikan yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebajikan serta pembangunan kerjaya wanita.

Mengakhiri ucapannya, Dato Sri Fatimah menyeru semua pihak termasuk sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat awam agar terus bekerjasama memperjuangkan agenda pemberdayaan wanita.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Dr. Sabariah Putit, Pengasas Bersama Kolej Universiti Kepimpinan Wanita Asia
Tan Sri Zarinah Anwar, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Keemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) Joseph Lim Jit Sek, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Sarawak Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Salmah Jobeli serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad.-EDISI UKAS