Program Mobile Service2U Perkukuh Hubungan ADUN Senadin Bersama Komuniti Permyjaya

Disiarkan pada 21 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Pendekatan turun padang terus menjadi keutamaan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin, menerusi program mingguan ‘Mobile Service2U’ anjuran Pusat Khidmat DUN Senadin pada Ahad.

Program yang berlangsung seawal jam 7 pagi di Permyjaya Food Centre itu menyaksikan Dato Sri Lee dan pasukannya dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Senadin beramah mesra bersama masyarakat setempat, termasuk pengunjung di kedai kopi dan penjaja makanan sekitar.

Menurut Dato Sri Lee, sesi turun padang seperti ini bukan sahaja memberi ruang untuk mendengar suara rakyat secara langsung, malah membantu menyelesaikan isu-isu yang memerlukan tindakan segera.

Beberapa penduduk turut mengambil kesempatan untuk mengemukakan pertanyaan dan memohon nasihat berkaitan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) serta polisi kebajikan yang lain.

Selain itu, beberapa aduan mengenai masalah saliran turut diterima daripada penduduk dan akan dirujuk kepada pihak Majlis Bandaraya Miri serta agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan lanjut.

Sebagai tanda ingatan dan rujukan kecemasan, pasukan Mobile Service2U turut mengedarkan Pelekat Nombor Kecemasan 2025 milik Dato Sri Lee kepada orang ramai.

Sambutan daripada masyarakat amat menggalakkan, dengan ramai mengambil peluang bergambar dan berswafoto bersama pemimpin mereka itu.

Program Mobile Service2U ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Pusat Khidmat DUN Senadin dalam memastikan setiap suara rakyat terus didengari dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.

Turut menyertai sesi perkhidmatan bergerak ini ialah barisan pemimpin tempatan terdiri daripada Kapitan Ngieng Hok Diing, Kapitan Connie Tang, Kaunselor Dato’ Victor Lau, Cr. Hiung Chien Yi, Cr. Thian Sew Lan, dan Cr. Jeffery Phang Siaw Foong, serta ahli jawatankuasa utama SUPP Senadin merangkumi sayap wanita dan belia.-EDISI UKAS