KUCHING: Sebanyak RM1.3 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek menaik taraf kemudahan awam di Kampung No. 3, 4, 5 dan 6 dalam kawasan Satok.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki berkata, peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan berterusan dan memenuhi keperluan rakyat di kawasan terbabit.
“Jumlah keseluruhan projek ini adalah sekitar RM1.3 juta, dan ia merupakan hadiah kepada kita di Satok hasil pendapatan kerajaan Sarawak yang dikembalikan semula kepada rakyat,” ujarnya semasa berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Zon 2 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, pada Ahad.
Antara projek utama yang diumumkan ialah menaik taraf Dewan Datu Merpati Jepang di Kampung No. 4 dengan peruntukan sebanyak RM340,000.
Bagi Kampung No. 3, sebanyak RM360,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan, manakala Kampung No. 5 menerima tiga projek berasingan iaitu pembinaan tanjakan ke Sungai Lajim (RM100,000), pembinaan jalan akses (RM80,000) dan sistem perparitan baharu (RM50,000).
Sementara itu, Kampung No. 6 diperuntukkan RM150,000 untuk sistem perparitan dan RM120,000 bagi kerja menurap semula jalan kampung.
“Selain projek-projek ini, saya akan berbincang lanjut dengan ketua-ketua kampung bagi mengenalpasti keperluan lain yang boleh dilaksanakan demi pembangunan kawasan ini,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri beliau, Datin Noor Akmar Hamdan; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany; dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain Hasbie. -EDISI UKAS