BINTULU: Lebih 500 penduduk membanjiri Dewan Serbaguna Kampung Baru memeriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Darat, Tengah, Laut dan Masjid Darussalam, dengan sokongan Kelab Belia Kampung Baru pada Ahad.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Dalam ucapannya, beliau memuji semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Baru, khususnya kerjasama erat antara kepimpinan empat kampung yang terlibat.
“Semangat perpaduan di kalangan keempat-empat ketua kampung ini sangatlah dihargai dan perlu diteruskan agar generasi muda akan terus menjunjung nilai kekitaan dan perpaduan,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi beberapa pertandingan sempena Aidilfitri termasuk azan, hafazan dan lampu raya.
Program tahunan ini bukan sahaja menjadi medan merapatkan silaturahim sesama penduduk, malah membuktikan bahawa perpaduan komuniti adalah asas kepada keharmonian dan kemajuan masyarakat setempat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Borhan; Pemancha Awang Merais Pengiran Ismail; Pegawai Khas Dato Seri Tiong King Sing, Azman Abdul Rahman; Datuk Kadier Sahib dan Penghulu Drahman Sisit.-EDISI UKAS